CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.

DarlinGss

Mar 11, 2011

SITUASI 40 > THIS IS NOT A LAST ENTRY :D

Si Ayah : Adam,ini buku.

Si Anak : No daddy, this is a book

Si Ayah : (Tercengang)



Bicaraku
Bagaimana jika anda berdepan dengan situasi seperti ini? Si anak mempunyai pengetahuan  Bahasa Inggeris yang lebih berbanding Bahasa Melayu. Secara realitinya, ibu bapa pada hari ini lebih mementingkan pembelajaran bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu. Perkara ini boleh mengakibatkan generasi akan datang tidak mampu untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik. Hal ini boleh menyebabkan bahasa Melayu itu sendiri akan mati. Kealpaan kita sebagai ibu bapa yang mahukan anak-anak fasih berbahasa Inggeris hingga menyebabkan bahasa Melayu itu sendiri terpinggir.Oleh yang demikian, tidak salah untuk ibu bapa mahukan anak-anak mereka mempelajari bahasa luar tetapi janganlah menyebabkan bahasa ibunda kita sendiri terpinggir. Sememangnya wajar dasar PPSMI yang digantikan kepada dasar memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Inggeris dilaksanakan bagi membolehkan bahasa Melayu kita dapat dimartabatkan.

hakciptaterpelihara

SITUASI 39 > SSSHHHHH...SENYAP!

Bahasa bukan sahaja boleh dilihat dan didengar melalui pertuturan tetapi bahasa juga boleh difahami melalui lenggok tubuh badan dan bunyi. Hal ini dikatakan sebagai bahasa isyarat. Contohnya :


 Melambai tangan ke arah teksi atau bas = menandakan seseorang mahu menaiki bas atau teksi tersebut

Bunyi ketukan pintu = menandakan seseorang yang mendapatkan izin untuk masuk ke bilik atau rumah seseorang

Meletakkan jari telunjuk di bibir =  seseorang yang mahukan orang lain untuk senyap

Jelingan atau menjeling = menunjukkan seseorang yang meluat, menyampah atau menunjukkan perasaan tidak puas hati terhadap orang yang dijelingnya.

Bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan orang yang bisu

 Bicaraku
Setiap orang menggunakan pelbagai cara untuk mengungkapkan bahasa mereka. Dalam komunikasi, bahasa lenggok tubuh badan dan bunyi juga dikatakan sebagai salah satu bahasa yang boleh kita ungkapkan. Hal ini demikian kerana, bahasa seperti ini membawa maksud yang tersendiri seperti contoh yang diberikan di atas. Bahasa ini juga dikenali sebagai bahasa isyarat. Kadangkala penggunaan bahasa isyarat ini lebih berkesan dalam sesuatu komunikasi.

hakciptaterpelihara

SITUASI 38 > ADAKAH PAKAIAN KAMU SIUMAN?

Bukan manusia sahaja yang tidak siuman tetapi warna pada pakaian juga menyebabkan pakaian tersebut dianggap tidak siuman. Perkara ini telah dikongsi dan dinyatakan oleh Profesor Abdullah Hassan ketika kelas Karya Agung. Prof menyatakan bahawa :

 "Kamu janganlah memakai pakaian yang tidak siuman yang mempunyai banyak warna"

Kata-kata Prof. itu telah membuatkan kami sekelas ketawa. Beliau menyarankan bahawa dalam situasi formal kita perlu memakai pakaian yang tidak melebihi daripada tiga warna. Beliau menyarankan agar kami memilih baju yang kelihatan siuman iaitu sekurang-kurangnya dua warna kerana beliau menganggap baju yang mempunyai banyak warna tidak bersesuaian untuk situasi ke kuliah atau formal. Oleh itu, beliau menganggap baju yang mempunyai banyak warna seperti baju yang 'tidak siuman'.

Bicaraku
Pada hemat saya, unsur humor yang dibawa oleh Profesor Abdullah ketika menyampaikan perkara seperti ini memberikan kesan yang mendalam pada kami. Perkataan 'tidak siuman' ini biasanya dikaitkan dengan sesuatu yang 'gila' atau 'tidak betul'. Secara realitinya, perkataan 'tidak siuman' yang digunakan oleh beliau menggambarkan bahawa situasi pemakaian seperti itu tidak berlaku terutamanya pada pemakaian kami sebagai pelajar dan bakal pendidik. Walau bagaimanapun, penggunaan perkataan tersebut sebenarnya mempunyai maksud yang tersirat dan nilai dalam interaksi sosial.

Pemakaian kita juga menunjukkan sikap kita

hakciptaterpelihara

SITUASI 37 > APA SUDAH JADI?


Ketika sedang asyik melayari laman sesawang muka buku, saya terbaca karangan seorang pelajar pada album gambar profil rakan saya seperti yang tertera di atas. Sebagai seorang guru, apakah yang anda fikirkan tentang bahasa yang digunakan pelajar ini dalam menghasilkan karangan tersebut?

Bicaraku
Pada pendapat saya, bahasa yang digunakan merupakan kesan daripada penggunaan bahasa pasar dan rojak dalam pertuturan lisan. Ayat dan bahasa yang digunakan pelajar ini merupakan bahasa pasar yang sering digunakan kebanyakan masyarakat kita. Dalam hal ini, guru memainkan peranan penting dalam membentuk penggunaan bahasa Melayu tinggi dan betul dalam kalangan pelajar. Jika guru sendiri masih menggunakan bahasa pasar dan tidak betul, maka pelajar juga mungkin terikut sama. Oleh itu, guru perlu memainkan peranan sebagai model kepada pelajarnya. Renung-renungkan dan selamat beramal.

hakciptaterpelihara

SITUASI 36 > KETAMPANAN SOSIAL

Ketika kuliah subjek Karya Agung pada minggu lepas, Profesor Abdullah Hassan telah menyentuh perkara yang berkaitan dengan Ketampanan Sosial. Beliau berkata seorang guru haruslah mempunyai 'ketampanan' dalam interaksi sosial. Tidak berbaloi mempunyai rupa paras yang cantik jika bahasa yang digunakan seperti bahasa pasar dan rojak. Beliau juga memberi analogi 'ketampanan sosial' ini sama seperti seseorang yang mampu berbahasa dengan bahasa yang betul dan baik. Contoh bahasa pasar yang sering kita gunakan dan 'ketampanan bahasa' tersebut :

 saya nak tanya = saya mahu bertanya

kat sini saya tekankan = di sini saya mahu tekankan

ok = baiklah

Bicaraku 
Ketampanan bahasa yang digunakan oleh Profesor Abdullah Hassan merupakan satu istilah baru yang saya peroleh. Pada pendapat saya, sebagai seorang guru bahasa perlulah menggunakan bahasa yang baik dan teratur. Ketampanan di sini bermaksud seseorang itu menggunakan bahasa Melayu tinggi seperti dalam situasi formal dan penggunaan bahasa tersebut mampu meningkatkan kualiti interaksi sosial kita. Bukan manusia sahaja yang perlu tampan tetapi bahasa juga perlu dijadikan 'tampan' oleh penggunanya.Renung-renungkan dan selamat beramal

hakciptaterpelihara

SITUASI 35 > DIALEK KEDAH

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera
Ketika sedang berbual,rakan saya telah menunjukkan saya borang kaji selidik berkenaan dialek Kedah.Ketika saya melihat borang tersebut, saya mempelajari beberapa kosa kata baru yang sebelum ini saya tidak pernah mengetahuinya. Antara perkataan tersebut ialah :

Kicap = Toyu
Cetek = Cangkat
Bocor = Tiqhih
Cungkil = Tui
Baling = Hawing



Bicaraku
Sebelum ini saya jarang mendengar dialek Kedah walaupun rakan baik saya berasal dari Kedah. Hal ini demikian kerana rakan saya bercakap dalam bahasa yang biasa dan tidak menggunakan loghat tetapi apabila saya melihat beliau mengisi borang soal selidik tersebut, barulah saya mengetahui beberapa dialek Kedah yang agak menarik untuk digunakan. Walaupun nampak pelik tetapi dialek tersebut kelihatan unik dan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

hakciptaterpelihara

Mar 10, 2011

SITUASI 34 > KESESAKAN DALAM KOMUTER

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.
Pada minggu lepas, saya dan rakan ke Kuala Lumpur untuk menyelesaikan urusan yang tertangguh. Oleh kerana mengejar masa, saya dan rakan mengambil keputusan untuk menaiki komuter untuk ke destinasi yang dituju. Kami sangat terperanjat kerana keadaan dalam komuter pada hari itu sangat penuh dan kami terpaksa bersesak. Apabila sampainya komuter,orang ramai mula berebut dan saling tolak-menolak antara satu sama lain. Walaupun komuter sudah penuh,orang di luar masih menolak untuk memastikan mereka dapat menaiki komuter tersebut. Tiba-tiba kedengaran seorang wanita menjerit :

 "Tak payah la nak tolak-tolak. Kalau da tak muat tak payah la naik"

Jeritan itu membuatkan mata orang sekeliling tertumpu kepada wanita tersebut.
Perkara yang membuatkan saya terkilan apabila seorang warga tua yang tersepit kerana berebut. Saya melihat warga tua tersebut menahan kesakitan apabila kakinya dipijak dan sesak nafas. Selain itu, kedengaran perbualan antara dua orang remaja :

Wei,kata Satu Malaysia.Kau bagi la laluan kat orang Cina tu
Rakan : Ada aku kisah satu Malaysia ke tak. Kalau aku fikir dia,siapa nak fikir aku.


Bicaraku
keadaan dalam komuter yang sesak

Keadaan sesak dan berebut menyebabkan tiada sifat bertolak ansur sesama kita. Dalam hal ini saya melihat masing-masing memaparkan sikap pentingkan diri mereka. Sikap simpati kepada warga tua juga sudah luntur. Pada hemah saya, tidak salah kita sebgai warga muda memberi laluan kepada warga tua tersebut untuk duduk supaya warga tua itu mendapat keselesaan seperti kata pepatah 'yang tua dihotmati, yang muda disayangi'. Jika semua orang bersikap tolak ansur dan saling menghormati, mungkin keadaan sesak itu dapat ditukar menjadi keadaan yang selesa.

hakciptaterpelihara

Mar 9, 2011

SITUASI 33 > APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN 'ANU'?

Saya : Didi.Ko tolong anukan butang baju aku ni?

Didi : Anu??apa tu anu?

Saya : Anu la.Tak faham?

Didi : Kat tempat aku 'anu' tu benda tutttttt...

Saya : (ketawa).Ko jangan salah anggap.Aku bukan cakap benda tu.Maksud 'anu' aku tu tolong buatkan.

Bicaraku
Salah faham dalam komunikasi ini lazimnya kerap berlaku terutamanya ketika penggunaan perkataan yang disalahtafsir sesama kita dalam komunikasi. Contohnya seperti situasi saya dan rakan saya. Perkataan 'anu' yang diperkatakan saya itu membawa maksud meminta pertolongan untuk memasangkan butang pada baju saya tetapi disalahtafsir oleh rakan saya yang memikirkan perkataan 'anu' itu dengan maksud yang berlainan. Dalam hal ini, perkataan yang sama tetapi membawa maksud yang berbeza juga boleh menyebabkan salah faham dalam komunikasi. Oleh itu, gunakanlah bahasa dengan betul. :)

hakciptaterpelihara

SITUASI 32 > BUDAYA MEMBACA

Ketika saya tergesa-gesa hendak menaiki bas untuk pergi ke kuliah di kampus, saya ternampak seorang pemuda yang sedang duduk di perhentian bas sambil membaca buku. Terdetik di hati saya, sebagai pelajar seharusnya kita tidak membuang masa seperti pelajar tersebut, menunggu bas sambil membaca.Hal ini memperlihatkan keberhasilan kempen Budaya Membaca yang giat dijalankan.

Jadikan amalan membaca budaya kita



Bicaraku
Membaca merupakan satu sikap yang baik dan mendatangkan kesan yang positif kepada diri seseorang.Hal ini menyebabkan kerajaan Malaysia telah melakukan pelbagai usaha bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Bangsa yang berjaya adalah bangsa yang suka membaca. Hal ini kerana dengan membaca kita memperoleh pelbagai ilmu dan maklumat.Budaya membaca ini seharusnya dijadikan amalan terutamanya pelajar dan dengan membaca juga masa kita dapat diisi denga perkara yang bermanfaat.

hakciptaterpelihara

SITUASI 31 > DIALEK YANG SINONIM

Pada kuliah Semantik dan Pragmatik yang lepas, pensyarah saya ada menyentuh berkenaan sinonim. Menurut Kamus Linguistik, sinonim merupakan dua kata atau lebih yang mempunyai makna yang sama atau hampir sama dalam sesuatu bahasa. Dalam hal ini, terdapat juga sebutan dialek yang berbeza tetapi mempunyai makna yang sinonim. Antaranya :

 balik  = kelik 
kawan  = saing 
satu  = sa 
cakap  = kecek 
gebo  = selimut 
gerobok = almari
payudara = kopek

Bicaraku
Tanpa kita sedari, masyarakat kita bertutur dalam pelbagai dialek. Walau bagaimanapun, terdapat juga dialek yang berbeza sebutan tetapi mempunyai makna yang sinonim. Oleh yang demikian, hal ini menunjukkan variasi atau kepelbagaian bahasa yang terdapat di Malaysia. Mungkin terdapat banyak lagi perkataan yang sinonim antara dialek yang terdapat di Malaysia.

hakciptaterpelihara

SITUASI 30 > BAHASA MELAYU MUDAH DIPELAJARI

keratan akhbar kosmo 9 mac 2011
Assalammualaikum dan Salam Sejahtera
Selepas kuliah di Proton City pada pagi tadi, saya dan rakan pergi ke koperasi PC untuk membeli minuman. Apabila ternampak berita muka depan surat khabar Kosmo  berkenaan dengan Tun Mahathir ,saya tertarik untuk membelinya. Setelah menyelak beberapa muka surat, terdapat berita yang bertajuk :

'BAHASA MELAYU MUDAH DIPELAJARI'

Antara kandungan berita ini melaporkan berkenaan pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) kategori antarabangsa. Rata-rata peserta yang terlibat menyatakan bahawa :

'BAHASA MELAYU MERUPAKAN BAHASA YANG MUDAH DIPELAJARI'

Bahasa Kita Wajah Kita


Antara komen peserta yang dipetik dari berita tersebut :

Peserta dari Jepun, Nozomi Kurahashi > "setakat ini saya tidak mengalami kesukaran bertutur dalam bahasa Melayu kerana minat yang mendalam terhadap bahasa ini. Selain bahasa, gaya hidup saya juga sudah banyak dipengaruhi dengan adat-adat orang Melayu dan saya amat berterima kasih kepada keluarga angkat saya di Batu Pahat yang banyak membimbing"

Peserta dari Romania, Alexandra Popesca > minatnya terhadap perbezaan budaya menyebabkan dia tertarik mempelajari bahasa Melayu. "Saya kemudian mengambil kelas Bahasa Melayu selama enam bulan dan selebihnya saya belajar menerusi komunikasi dengan rakan di Indonesia dan Malaysia"

Dua kategori yang dipertandingkan terdiri daripada kategori nusantara yang menyaksikan lima buah negara Asia dan kategori antarabangsa yang telah membuka gelanggang bagi peringkat saringan semalam. Peringkat akhir pertandingan ini akan diadakan pada 11 Mac yang dirasmikan oleh Perdana Menteri kita.

Bicaraku
Saya sangat teruja dan berbangga kerana bahasa Melayu dipelajari dan diminati oleh masyarakat luar dan bukan berketurunan Melayu. Komen positif yang dilontarkan mereka berkenaan bahasa Melayu merupakan bahasa yang mudah dipelajari merupakan salah satu nilai yang positif yang ada dalam bahasa kita iaitu bahasa Melayu. Jika masyarakat luar sendiri teruja dan amat meminati untuk mempelajari bahasa kita, maka sebagai penutur natif kita juga seharusnya memartabatkan bahasa Melayu dan berbangga dengan bahasa kita. Seterusnya, pertandingan seperti ini seharusnya dijalankan dari semasa ke semasa su[aya bahasa Melayu itu sendiri tidak mati dan kekal seterusnya tersebar di serata dunia.Renungrenungkan dan selamat beramal.


hakciptaterpelihara

Mar 8, 2011

SITUASI 29 > MARILAH KITA BERKONGSI ILMU

Assalammualaikum
Melayari internet merupakan satu perkara wajib yang saya lakukan setiap hari. Sedang asyik melayari laman sesawang muka buku, saya terbaca satu artikel berkenaan perkataan singkatan 'salam' yang sering digunakan oleh kita untuk memberi salam sesama islam. Antara perkongsian dalam artikel tersebut ialah :


SIAPA YANG MENGGUNAKAN PERKATAAN "SALAM"? apakah maksud disebaliknya??

Maka berpalinglah (hai Muhammad) dari mereka dan katakanlah:"Salam (selamat tinggal)".

Kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yangburuk). (QS. 43:89)

baik gunakan,,,ASSALAMUALAIKUM atau ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAH HIWABARAKATUH... 


Jawab salam yang betul ialah ;
“WAALAI KUMUS SALAM”dan bukannya yang selalu saya dengar iaitu ;

“WAALAI KUM SALAM”

Apabila kita ingin berkirim salam pada orang lain, hendaklah kita berkata

“Kirim salam, assalamualaikum pada ASHREE ya” contohnya

Dan bukannya : “Kirim salam kat ASHREE ya”

Jika perkataan “Assalamualaikum” itu panjang, maka hendaklah kita ganti dengan perkataan “As Salam” yang membawa maksud sama dengan “Assalamualaikum”.
Perkataan ‘AKUM‘ adalah gelaran untuk orang-orang Yahudi untuk orang-orang bukan yahudi yang bermaksud‘BINATANG‘ dalam Bahasa Ibrani.



Jangan guna “Bye” kerana“Bye” adalah jarum sulit Kristian yang bermaksud “Di Bawah Naungan Pope.”



 Jangan guna “A’kum” kerana“A’kum” bermaksud “Binatang” dalam bahasa Yahudi.

 Jangan guna “Semekom” kerana“Semekom”bermaksud “Celaka Kamu.”Gunakan perkataan “ As Salam” sebagai singkatan bagi“Assalammualaikum.”




Bicaraku
Berkongsi ilmu merupakan satu perkara yang baik da mulia. Perkongsian ilmu di atas telah menyebabkan kita mengetahui perkara yang sering kita lakukan itu sebenarnya salah dan boleh menyebabkan dosa ke atas diri kita. Dalam islam juga digalakkan kita untuk berkongsi ilmu dan saling menyampaikan perkara yang baik dan buruk antara satu sama lain. Melihat kepada singkatan perkataan seperti yang ditunjukkan pada artikel di atas menyedarkan bahawa kadangkala singkatan yang kita tulis itu mempunyai maksud yang tidak elok tapi kita tidak sedar tentang perkara tersebut. Oleh yang demikian, lebih elok kita menggunakan perkataan yang penuh  supaya dapat menyampaikan maksudnya yang sebenar. Renung-renungkan dan selamat beramal.

hakciptaterpelihara

SITUASI 28 > 'BANJIR' & 'MAHAL'

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera
Perkara yang dapat menghilangkan tekanan adalah melakukan terapi membeli belah.Pada hujung minggu yang lepas, saya dan rakan pergi berjalan-jalan sambil mencuci mata melihat barangan di Jusco iaitu salah satu pusat membeli belah. Tiba-tiba hati ini terdetik untuk melihat pakaian di butik Guees. Apabila saya melihat harga pada barangan di butik tersebut, saya terus berkata pada rakan saya :

 Mak oi..mandi harga baju ni

Rakan saya : Mandi?siapa yang mandi?

Harga baju ni la.memang mandi

Rakan saya : Eh ko ni.cakap apa?Aku tak faham

Ko tak faham ea??maksud aku mandi tu mahal la.Maksudnya macam mahal sangat la harga baju ni.Tak mampu nak membelinya.

Rakan saya : Oh..mahal.Lain kali cakap la mahal.Baru aku faham

Bicaraku
Situasi di atas menunjukkan penggunaan bahasa yang digunakan oleh saya tidak difahami oleh rakan saya. Seharusnya saya menggunakan bahasa yang sebenar iaitu 'mahal' kerana akan difahami oleh rakan saya. Mungkin rakan saya menganggap perkataan 'mandi' yang diujarkan oleh saya itu membawa maksud membersihkan diri di bilik air tetapi saya maksudkan perkataan 'mandi' itu seperti 'mahal' iaitu harga baju tersebut yang tidak mampu dibayar. Situasi ini menunjukkan bahawa tidak semua orang memahami istilah yang kita beri sendiri untuk sesuatu perkataan. Oleh yang demikian, gunakanlah bahasa Melayu dan istilah yang betul.Renung-renungkan dan selamat beramal.

hakciptaterpelihara

SITUASI 27 > ISU TIDAK SOPAN LAGI

Assalammualaikum
Isu tidak sopan ini masih lagi berlaku dalam kalangan masyarakat di sekitar UPSI. Kejadian ini berlaku ketika saya dan rakan baru sahaja tamat kelas pada jam 1 tengahari di bilik kuliah Proton City. Setelah selesai, kami bergegas mendapatkan bas ke untuk ke Taman Bernam kerana kelas seterusnya bermula jam 2 petang. Seperti biasa,kami terpaksa menunggu bas tetapi apabila sampainya bas, pemandu bas tersebut berdiri di hadapan pintu bas dan tidak membenarkan kami untuk naik ke dalam bas dan kami kurang pasti sebab pemandu tersebut melarang kami naik. Setelah menunggu selama 10 minit dan oleh kerana mengejar masa, rakan saya berkata kepada pemandu tersebut :

 Rakan saya  : Abang,kami sudah lewat ni.Kami ada kelas pukul 2 di Taman Bernam.Kami takut terlewat (dengan nada yang lembut dan sopan)

Pemandu bas : Ada aku kisah ko lambat ke tak.Ko nak cepat pergi jalan kaki la sana.

Bicaraku
Nampaknya kempen 'Budi Bahasa Budaya Kita' masih lagi tidak menunjukkan kesan yang baik ke atas rakyat Malaysia. Tidak salah untuk pemandu tersebut menjawab pertanyaan rakan saya dengan bahasa yang baik kerana rakan saya mengujarkan persoalan dan pertanyaan dengan nada yang baik. Orang berbudi kita seharusnya berbahasa. Jawapan dengan nada yang tidak sopan itu boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan boleh menyinggung perasaan orang lain. Jika sikap sopan santun yang kita amalkan, kehidupan kita dam masyarakat sekeliling akan lebih bahagia. Renung-renungkan dan selamat beramal.

hakciptaterpelihara

SITUASI 26 > RETORIK

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera
Pada minggu lepas saya pulang ke kampung dan seperti biasalah saya menuju ke Bukit Jalil untuk menaiki bas. Waktu tengahari yang terik membuatkan perut saya berkeroncong dan saya mengambil keputusan untuk pergi makan di ruang gerai makan yang terletak di stesen bas Bukit Jalil sebelum menaiki bas 30 minit lagi. Apabila tiba di ruangan gerai tersebut saya terperanjat kerana peniaga di situ masing-masing berebut dan mula beretorik untuk menarik pelanggan. Oleh itu, saya menjadi serba salah untuk memilih gerai untuk menikmati makan tengahari. Pelbagai retorik dan kata-kata pujukan yang digunakan oleh mereka bagi menarik perhatian pelanggan untuk makan di gerai mereka. Antaranya :

keadaan di ruang gerai makan tersebut


Peniaga A : Adik..mari makan di gerai ini.Mari duduk.Macam-macam ada.Nasi lemak ada, soto ada, nasi campur ada.Macam-macam air pon ada.

Peniaga B  : Adik.Duduk sini.Mari duduk sini.Macam-macam ada.Semua special. Tak ada yang tak special di sini.

Peniaga C : Ha,,Adik.Kedai sini semua makanannya sedap-sedap.Tiada tandingan.Marilah duduk sini.Makan kedai ni saja.

Bicaraku
Melihat kepada situasi di atas saya menjadi serabut dan rimas kerana kita tidak diberi pilihan untuk memilih dan menikmati makanan yang kita gemari. Memang tidak dapat dinafikan, peniaga tersebut cuba menarik perhatian pelanggan untuk makan di kedai mereka tetapi cara mereka kadangkala seperti memaksa kita untuk makan di gerai mereka walaupun kita mahu dan masih dalam proses memilih lagi. Walau bagaimanapun, retorik yang pelbagai yang digunakan mereka menunjukkan kepakaran mereka menggunakan bahasa untuk menarik pelanggan ke kedai mereka. 

hakciptaterpelihara

SITUASI 25 >BAFAHAFASAFA RAHFASIFIAFA

Assalammualaikum dan Salam 1 Malaysia


Fenomena bahasa 'F' pernah melanda golongan remaja terutamanya pada suatu ketika dahulu. Saya mula mendengar bahasa 'F' ini melalui filem Bintang Hati yang dilakonkan oleh Amy Mastura dan Anuar Zain. Dalam filem tersebut Amy Mastura mengujarkan dialog bahasa 'F' ini dengan adiknya bagi mengelakkan pertuturan mereka difahami oleh orang tua mereka.  Bahasa ini menjadi bahasa rahsia mereka. Contoh bahasa 'F' :

Afawafak safangafat cafantifik = Awak sangat cantik

Bafaufu afawafak sufunggufuh bufusufuk = bau awak sungguh busuk

safayafa safayafang afawafak = saya sayang awak

safayafa sufukafa sofosifiofolifiguistifik = saya suka sosiolinguistik

jafangafan beferifitahufu oforafang lafaifin


Bicaraku
Pada mulanya saya mempelajari bahasa 'F', saya berasa seronok kerana pertuturan kita hanya difahami sesama kita dan mudah untuk kita perkatakan sesuatu yang rahsia di hadapan orang ramai kerana tidak semua orang memahami bahasa 'F' ini. Bahasa 'F' juga dikenali sebagai bahasa rahsia. Walau bagaimanapun, secara realitinya bahasa seperti inilah yang merosakkan keindahan bahasa Melayu itu sendiri. Lebih elok dan sedap didengar jika kita bertutur menggunakan bahasa Melayu yang betul dan baik. Tidak salah untuk kita menggunakan bahasa seperti ini tetapi janganlah sampai merosakkan bahasa Melayu kita sendiri. Renung-renungkan dan selamat beramal.


hakciptaterpelihara

SITUASI 24 > 'BIG WORK'

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera

Dialog antara saya dan rakan saya yang berasal dari Kelantan 

Saya  :  Haiqal,baru balik dari kampung ke?

Haiqal : Ha,,ada bekwah

Saya  : Bekwah??apa tu??

Haiqal : Bekwah tu macam kenduri la. Orang Kelantan cakap kenduri tu bekwah.

Saya : Ohh,,kenduri..ingatkan apa tadi.

Bicaraku
'Bekwah' merupakan satu perkataan dari dialek Kelantan yang membawa maksud kenduri. Menurut rakan saya, bekwah ini diambil dari perkataan bahasa Inggeris 'big work' yang membawa maksud kerja secara besar-besaran. Perkataan bahasa Inggeris itu disesuaikan dengan sebutan dialek Kelantan. Hal ini merupakan satu pembelajaran kosa kata baru bagi saya kerana kebiasaannya orang Johor menggunakan istilah 'rewang' untuk majlis kenduri seperti ini. Di sini menunjukkan perbezaan penggunaan kosa kata yang mempunyai maksud yang sama oleh masyarakat.



hakciptaterpelihara

SITUASI 23 > 'PECAT'

Assalammualaikum
Pada kuliah sosiolinguistik pada minggu lepas, saya telah mendapat kosa kata baru berkenaan dialek masyarakat Terengganu. Kosa kata tersebut ialah 'pecat'. Menurut rakan saya yang berasal dari Terengganu, mereka menggunakan perkataan 'pecat' yang membawa maksud 'tanggal atau menanggalkan'. Berikut merupakan contoh ayat :

 'Pecat tudung'  = Tanggal tudung

'Pecat Baju' = Tanggal baju

 tetapi masyarakat Johor seperti saya menggunakan perkataan 'pecat' yang membawa maksud diberhentikan kerja. Contoh :

Ali dipecat oleh majikannya = Ali telah diberhentikan kerja oleh majikannya

Bicaraku
Satu perkara yang menarik apabila saya dapat mempelajari kosa kata baru lebih-lebih lagi berkaitan dialek masyarakat di Malaysia. Saya melihat perbezaan maksud perkataan 'pecat' yang digunakan oleh masyarakat Terengganu dan masyarakat Johor seperti saya. Di sini dapat dilihat keperlbagaian maksud sesuatu perkataan yang digunakan oleh masyarakat walaupun sebutannya sama.Mungkin masyarakat di Terengganu akan memikirkan maksud lain jika saya mengujarkan ayat 'Ali dipecat oleh majikannya' kepada mereka. Walau bagaimanapun, sesuatu yang bervariasi dan menarik apabila sesebuah perkataan mempunyai maksud yang banyak.

hakciptaterpelihara

SITUASI 22 > 'RAMP IT'

Assalammualaikum dan Salam 1 UPSI
Adakah anda tahu dari mana asalnya perkataan 'Rempit'???Pernahkah anda mendengar istilah 'Mat Rempit'? 'Minah Rempit'? Menurut Kamus Dewan edisi ketiga, rempit membawa maksud menyebat dengan rotan dan lain-lain.Selain itu, rempit juga membawa maksud menyesah. Kebiasaanya perkataan 'rempit' ini sinonim dengan remaja yang menaiki motosikal dan melakukan kegiatan lumba haram. Sebenarnya,
 perkataan 'rempit' berasal dari perkataan bahasa Inggeris iaitu 'Ramp It' 
dan 
perkataan 'rempit' ini telah diperkenalkan oleh Ahadiat Akashah (penulis novel terkenal) yang telah menggunakan istilah 'rempit' dalam penulisan novel beliau untuk menggambarkan remaja yang terjebak dengan kegiatan lumba haram menaiki motosikal. Oleh itu, sehingga kinilah perkataan itu digunakan oleh 
masyarakat.

katakan tidak kepada rempit


Bicaraku
Setiap perkara yang terjadi sudah tentu mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Begitu juga dengan sesuatu perkataan yang mungkin kita tidak sedar dari mana datangnya perkataan tersebut. Hal ini dapat dilihat melalui perkataan 'rempit' yang berasal dan dipinjam dari perkataan bahasa Inggeris. Perkataan ini juga pada mulanya jarang digunakan tetapi setelah diperkenalkan dan dipopularkan oleh penulis novel tersebut, lama kelamaan menjadi satu perkataan yang popular dan sering digunakan oleh masyarakat pada hari ini. Oleh itu, perkataan ini juga telah menjadi satu istilah yang telah mencetuskan satu fenomena dalam kalangan remaja.

hakciptaterpelihara

SITUASI 21 > ISTILAH

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera
Pernahkah anda mendengar istilah pelik yang sering digunakan remaja sekarang?Kebiasaannya istilah ini digunakan remaja bagi mengelakkan difahami orang veteran dn mudah difahami sesama mereka. Di sini saya senaraikan beberapa istilah yang sering kita dengar dan diujarkan mereka.

'ANAK IKAN' >> kekasih simpanan yang lebih muda

'CIKARO' >> kekasih (biasanya disebut oleh golongan rempit)

'BAPA AYAM' >> lelaki yang mengetuai sindiket penjualan wanita atau pelacuran

'SUGAR DADDY' >>  lelaki yang membela wanita simpanan

'BALAK' >> teman lelaki

'KUTU RAYAP' >> Mereka yang suka melepak tanpa hala tuju

Bicaraku
Sebenarnya banyak lagi istilah yang sering digunakan masyarakat kita pada hari ini untuk mengambarkan sesuatu. Kebiasaannya istilah seperti ini sering digunakan remaja untuk memudahkan perbualan mereka.Hal ini kerana bahasa seperti 'cikaro', 'balak' hanya digunakan dalam kelompok mereka dan hanya difahami oleh sesetengah pihak sahaja. Istilah seperti ini kadangkala boleh mendatangkan kebaikan dan juga keburukan. Hal ini kerana istilah seperti ini dapat menjadi kiasan di sebalik maksud yang sebenarnya dan salah satu keburukannya  tidak difahami oleh sesetengah pihak.

hakciptaterpelihara

Feb 20, 2011

SITUASI 20 > "ANDA SOPAN SAYA SEGAN"

Assalammualaikum w.b.t
Wahai rakyat Malaysia sekalian,apa gunanya kempen Budi Bahasa Budaya Kita jika kita masih lagi tidak berbudi dalam berbahasa.Pada entri yang lepas, saya ada memaparkan situasi pelajar yang kurang sopan semasa berkomunikasi dengan pemandu bas tetapi entri saya pada kali ini adalah sebaliknya. Situasi ini terjadi di dalam bas semasa menunggu pelajar lain naik ke dalam bas selepas pulang dari Pasar Malam Pekan Tg Malim. Oleh kerana saya duduk di barisan paling hadapan dalam bas,maka saya dapat mendengar dengan jelas komunikasi antara pelajar dan pemandu bas tersebut. Situasi ini terjadi apabila pelajar tersebut menaiki bas sambil membawa air yang dibeli di pasar malam dan bertanya kepada pemandu tersebut.

Pelajar   : Pakcik,bas ni pergi kampus tak?

Pemandu Bas  : Aiyo..hari-hari da naik bas,takkan tak tahu.Soalan macam tu tak payah tanya.Penat la nak menjawab.Ha!kan da banyak kali pesan,tak paham-paham lagi ke? (pelajar itu terpinga-pinga)
Kan da cakap jangan minum dalam bas.Pergi turun!Habiskan air tu dulu sebelum naik bas.

(Pelajar itu terus turun dari bas berkenaan)

Bicaraku
'Budi Bahasa Budaya Kita'.Ungkapan tersebut amat berbeza dengan budi dalam berbahasa seperti yang ditunjukkan dalam situasi dia atas. Nada dan bahasa yang digunakan oleh pemandu bas tersebut tidak bersesuaian dalam menjawab pertanyaan dan menegur kesalahan yang dilakukan oleh pelajar tersebut. Kata pepatah 'orang berbudi kita berbahasa', 'anda sopan saya segan' tetapi kesopanan pelajar tersebut ketika bertanya kepada pemandu bas tersebut telah dijawab dengan kasar dan bahasa yang digunakan juga agak kurang sopan. Pemandu bas tersebut mungkin telah menyebabkan pelajar tersebut malu dan rasa terhina dengan tamparan kata-katanya.Dalam situasi ini, tidak menjadi satu kesalahan jika pemandu bas tersebut menjawab pertanyaan pelajar tersebut dengan nada dan bahasa yang bersopan santun. Jika cara teguran pemandu bas itu lebih berhemah, mungkin pelajar tersebut tidak tersentak dengan teguran tersebut. Oleh itu, belajarlah untuk lebih berbudi bahasa dalam berkomunikasi.Renung-renungkan dan selamat beramal.



Pesanan : Jika kita mahu orang menghormati kita,kita harus terlebih dahulu belajar menghormati orang lain.


hakciptaterpelihara

Feb 19, 2011

SITUASI 19 > BAHASA BASAHAN

Tahukah anda apa itu partikel?Partikel adalah sejenis kata tugas seperti -kah, -lah, -pun dan lain-lain.Partikel juga disebut sebagai kata penyerta.Entri saya pada kali ini ingin menceritakan peristiwa yang berlaku semasa kelas Profesor Abdullah Hassan. Sebelum kelas tamat,beliau sempat berpesan kepada kami. Pesanan itu berbunyi :
profesor Abdullah Hassan

"Dalam percakapan atau komunikasi, jangan biasakan bercakap -lah.-lah itu adalah bahasa basahan"

Bicaraku
Pesanan Profesor itu ada benarnya juga.Mungkin ada pelajar yang telah berkomunikasi dengan beliau menggunakan perkataan yang mempunyai nada partikel -lah. Contohnya ayat "kena buat macam ni lah???", "tak payah lah", "susahlah". Ayat-ayat yang mengandungi partikel -lah seperti itu mungkin dianggap bahasa basahan oleh beliau kerana masyarakat kita sering menggunakan partikel tersebut sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam proses komunikasi mereka.Kata partikel tersebut dianggap kurang sesuai untuk kita ucapkan ketika menggunakan bahasa dalam keadaan atau situasi formal. Walau bagaimanapun, partikel -lah ini kebanyakannya digunakan oleh masyarakat pada zaman dahulu untuk menulis hikayat, gurindam, syair dan agak sukar untuk kita memahami hikayat yang adaya partikel -lah ini. Oleh yang demikian, pesanan yang ingin disampaikan di sini adalah menggunakan bahasa yang kelihatan tersusun dan formal apabila kita berkomunikasi.Renung-renungkan dan selamat beramal.

hakciptaterpelihara

SITUASI 18 > APABILA PERASAAN BENGANG DAN MARAH MENGUASAI DIRI

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera
Pernahkan anda berada dalam situasi yang membuatkan anda bengang dan marah???Sudah tentu semua orang pernah melalui situasi ini tetapi perkara yang membezakannya adalah cara kita menangani situasi tersebut.Baru-baru ini, ketika saya sedang menunggu bas untuk pulang ke kampung, ada seorang lelaki yang berjalan dengan tergesa-gesa (L1).Mungkin dia sudah terlambat untuk mendapatkan basnya. Dalam dia tergesa-gesa itu, tiba-tiba dalam secara tidak sengaja dia terlanggar seorang lelaki (L2) hingga terjatuh.Dengan nada yang marah dan bengang, lelaki (L2) tersebut terus memaki hamun lelaki yang melanggarnya (L1). Kejadian ini telah disaksikan oleh ramai orang yang berada di tempat terbabit.

bengang?marah?haruslah bersabar :)

Antara kata-kata lelaki tersebut:

L2 > Woi,ko buta ke ape x nampak aku ni ha?

L1 > Maaf bang, saya tak sengaja.Saya nak cepat ni.

L2 > Wei bahlol,ape abang-abang ko panggil aku.Sejak bila mak aku beranakkan kau.Kau tu kalau da buta, tak nampak jalan, pakai la tongkat

L1 > Maaflah ye encik.Bahasa encik ni da melampau.Kalau saya salah saya mintak maaf.Saya da tak ada masa nak layan encik ni (terus berlalu pergi)

Bicaraku
Sabar adalah separuh daripada iman.Tanpa kesabaran terjadilah seperti situasi di atas.Berlakunya acara maki-memaki oleh lelaki 2 yang telah dilanggar secara tidak sengaja oleh lelaki 1.Bahasa yang digunakan oleh lelaki 2 tersebut merupakan bahasa yang tidak elok kerana dia telah menghina dan memaki L1 yang secara tidak sengaja melanggarkan. Kesopanan kata-kata lelaki 1 yang telah meminta maaf kepada lelaki 2 tersebut tidak dapat meredakan lagi tahap kemarahan dan kebengangan lelaki 2. Hal inilah yang dikatakan ego dan ego inilah yang menyebabkan lelaki 2 telah menghamburkan kata-kata kesat kepada lelaki 1. Di mana letaknya kesopanan dalam berbahasa? Hal ini perlu diambil sebagai iktibar buat kita semua.Walaupun kita bengang dan marah, kita haruslah mengawal situasi tersebut. Janganlah kita mahu melepaskan kemarahan kita dengan mengeluarkan kata-kata yang kesat. Tidak salah untuk kita bersopan santun walaupun kita malu, bengang dan marah seperti lelaki 2 tersebut. Seharusnya kita mencontohi lelaki 1 yang bersopan santun dan mengakui kesilapannya. Renung-renungkan dan selamat beramal

hakciptaterpelihara