CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.

DarlinGss

Mar 11, 2011

SITUASI 40 > THIS IS NOT A LAST ENTRY :D

Si Ayah : Adam,ini buku.

Si Anak : No daddy, this is a book

Si Ayah : (Tercengang)



Bicaraku
Bagaimana jika anda berdepan dengan situasi seperti ini? Si anak mempunyai pengetahuan  Bahasa Inggeris yang lebih berbanding Bahasa Melayu. Secara realitinya, ibu bapa pada hari ini lebih mementingkan pembelajaran bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu. Perkara ini boleh mengakibatkan generasi akan datang tidak mampu untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik. Hal ini boleh menyebabkan bahasa Melayu itu sendiri akan mati. Kealpaan kita sebagai ibu bapa yang mahukan anak-anak fasih berbahasa Inggeris hingga menyebabkan bahasa Melayu itu sendiri terpinggir.Oleh yang demikian, tidak salah untuk ibu bapa mahukan anak-anak mereka mempelajari bahasa luar tetapi janganlah menyebabkan bahasa ibunda kita sendiri terpinggir. Sememangnya wajar dasar PPSMI yang digantikan kepada dasar memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasakan bahasa Inggeris dilaksanakan bagi membolehkan bahasa Melayu kita dapat dimartabatkan.

hakciptaterpelihara

SITUASI 39 > SSSHHHHH...SENYAP!

Bahasa bukan sahaja boleh dilihat dan didengar melalui pertuturan tetapi bahasa juga boleh difahami melalui lenggok tubuh badan dan bunyi. Hal ini dikatakan sebagai bahasa isyarat. Contohnya :


 Melambai tangan ke arah teksi atau bas = menandakan seseorang mahu menaiki bas atau teksi tersebut

Bunyi ketukan pintu = menandakan seseorang yang mendapatkan izin untuk masuk ke bilik atau rumah seseorang

Meletakkan jari telunjuk di bibir =  seseorang yang mahukan orang lain untuk senyap

Jelingan atau menjeling = menunjukkan seseorang yang meluat, menyampah atau menunjukkan perasaan tidak puas hati terhadap orang yang dijelingnya.

Bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan orang yang bisu

 Bicaraku
Setiap orang menggunakan pelbagai cara untuk mengungkapkan bahasa mereka. Dalam komunikasi, bahasa lenggok tubuh badan dan bunyi juga dikatakan sebagai salah satu bahasa yang boleh kita ungkapkan. Hal ini demikian kerana, bahasa seperti ini membawa maksud yang tersendiri seperti contoh yang diberikan di atas. Bahasa ini juga dikenali sebagai bahasa isyarat. Kadangkala penggunaan bahasa isyarat ini lebih berkesan dalam sesuatu komunikasi.

hakciptaterpelihara

SITUASI 38 > ADAKAH PAKAIAN KAMU SIUMAN?

Bukan manusia sahaja yang tidak siuman tetapi warna pada pakaian juga menyebabkan pakaian tersebut dianggap tidak siuman. Perkara ini telah dikongsi dan dinyatakan oleh Profesor Abdullah Hassan ketika kelas Karya Agung. Prof menyatakan bahawa :

 "Kamu janganlah memakai pakaian yang tidak siuman yang mempunyai banyak warna"

Kata-kata Prof. itu telah membuatkan kami sekelas ketawa. Beliau menyarankan bahawa dalam situasi formal kita perlu memakai pakaian yang tidak melebihi daripada tiga warna. Beliau menyarankan agar kami memilih baju yang kelihatan siuman iaitu sekurang-kurangnya dua warna kerana beliau menganggap baju yang mempunyai banyak warna tidak bersesuaian untuk situasi ke kuliah atau formal. Oleh itu, beliau menganggap baju yang mempunyai banyak warna seperti baju yang 'tidak siuman'.

Bicaraku
Pada hemat saya, unsur humor yang dibawa oleh Profesor Abdullah ketika menyampaikan perkara seperti ini memberikan kesan yang mendalam pada kami. Perkataan 'tidak siuman' ini biasanya dikaitkan dengan sesuatu yang 'gila' atau 'tidak betul'. Secara realitinya, perkataan 'tidak siuman' yang digunakan oleh beliau menggambarkan bahawa situasi pemakaian seperti itu tidak berlaku terutamanya pada pemakaian kami sebagai pelajar dan bakal pendidik. Walau bagaimanapun, penggunaan perkataan tersebut sebenarnya mempunyai maksud yang tersirat dan nilai dalam interaksi sosial.

Pemakaian kita juga menunjukkan sikap kita

hakciptaterpelihara

SITUASI 37 > APA SUDAH JADI?


Ketika sedang asyik melayari laman sesawang muka buku, saya terbaca karangan seorang pelajar pada album gambar profil rakan saya seperti yang tertera di atas. Sebagai seorang guru, apakah yang anda fikirkan tentang bahasa yang digunakan pelajar ini dalam menghasilkan karangan tersebut?

Bicaraku
Pada pendapat saya, bahasa yang digunakan merupakan kesan daripada penggunaan bahasa pasar dan rojak dalam pertuturan lisan. Ayat dan bahasa yang digunakan pelajar ini merupakan bahasa pasar yang sering digunakan kebanyakan masyarakat kita. Dalam hal ini, guru memainkan peranan penting dalam membentuk penggunaan bahasa Melayu tinggi dan betul dalam kalangan pelajar. Jika guru sendiri masih menggunakan bahasa pasar dan tidak betul, maka pelajar juga mungkin terikut sama. Oleh itu, guru perlu memainkan peranan sebagai model kepada pelajarnya. Renung-renungkan dan selamat beramal.

hakciptaterpelihara

SITUASI 36 > KETAMPANAN SOSIAL

Ketika kuliah subjek Karya Agung pada minggu lepas, Profesor Abdullah Hassan telah menyentuh perkara yang berkaitan dengan Ketampanan Sosial. Beliau berkata seorang guru haruslah mempunyai 'ketampanan' dalam interaksi sosial. Tidak berbaloi mempunyai rupa paras yang cantik jika bahasa yang digunakan seperti bahasa pasar dan rojak. Beliau juga memberi analogi 'ketampanan sosial' ini sama seperti seseorang yang mampu berbahasa dengan bahasa yang betul dan baik. Contoh bahasa pasar yang sering kita gunakan dan 'ketampanan bahasa' tersebut :

 saya nak tanya = saya mahu bertanya

kat sini saya tekankan = di sini saya mahu tekankan

ok = baiklah

Bicaraku 
Ketampanan bahasa yang digunakan oleh Profesor Abdullah Hassan merupakan satu istilah baru yang saya peroleh. Pada pendapat saya, sebagai seorang guru bahasa perlulah menggunakan bahasa yang baik dan teratur. Ketampanan di sini bermaksud seseorang itu menggunakan bahasa Melayu tinggi seperti dalam situasi formal dan penggunaan bahasa tersebut mampu meningkatkan kualiti interaksi sosial kita. Bukan manusia sahaja yang perlu tampan tetapi bahasa juga perlu dijadikan 'tampan' oleh penggunanya.Renung-renungkan dan selamat beramal

hakciptaterpelihara

SITUASI 35 > DIALEK KEDAH

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera
Ketika sedang berbual,rakan saya telah menunjukkan saya borang kaji selidik berkenaan dialek Kedah.Ketika saya melihat borang tersebut, saya mempelajari beberapa kosa kata baru yang sebelum ini saya tidak pernah mengetahuinya. Antara perkataan tersebut ialah :

Kicap = Toyu
Cetek = Cangkat
Bocor = Tiqhih
Cungkil = Tui
Baling = Hawing



Bicaraku
Sebelum ini saya jarang mendengar dialek Kedah walaupun rakan baik saya berasal dari Kedah. Hal ini demikian kerana rakan saya bercakap dalam bahasa yang biasa dan tidak menggunakan loghat tetapi apabila saya melihat beliau mengisi borang soal selidik tersebut, barulah saya mengetahui beberapa dialek Kedah yang agak menarik untuk digunakan. Walaupun nampak pelik tetapi dialek tersebut kelihatan unik dan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

hakciptaterpelihara

Mar 10, 2011

SITUASI 34 > KESESAKAN DALAM KOMUTER

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.
Pada minggu lepas, saya dan rakan ke Kuala Lumpur untuk menyelesaikan urusan yang tertangguh. Oleh kerana mengejar masa, saya dan rakan mengambil keputusan untuk menaiki komuter untuk ke destinasi yang dituju. Kami sangat terperanjat kerana keadaan dalam komuter pada hari itu sangat penuh dan kami terpaksa bersesak. Apabila sampainya komuter,orang ramai mula berebut dan saling tolak-menolak antara satu sama lain. Walaupun komuter sudah penuh,orang di luar masih menolak untuk memastikan mereka dapat menaiki komuter tersebut. Tiba-tiba kedengaran seorang wanita menjerit :

 "Tak payah la nak tolak-tolak. Kalau da tak muat tak payah la naik"

Jeritan itu membuatkan mata orang sekeliling tertumpu kepada wanita tersebut.
Perkara yang membuatkan saya terkilan apabila seorang warga tua yang tersepit kerana berebut. Saya melihat warga tua tersebut menahan kesakitan apabila kakinya dipijak dan sesak nafas. Selain itu, kedengaran perbualan antara dua orang remaja :

Wei,kata Satu Malaysia.Kau bagi la laluan kat orang Cina tu
Rakan : Ada aku kisah satu Malaysia ke tak. Kalau aku fikir dia,siapa nak fikir aku.


Bicaraku
keadaan dalam komuter yang sesak

Keadaan sesak dan berebut menyebabkan tiada sifat bertolak ansur sesama kita. Dalam hal ini saya melihat masing-masing memaparkan sikap pentingkan diri mereka. Sikap simpati kepada warga tua juga sudah luntur. Pada hemah saya, tidak salah kita sebgai warga muda memberi laluan kepada warga tua tersebut untuk duduk supaya warga tua itu mendapat keselesaan seperti kata pepatah 'yang tua dihotmati, yang muda disayangi'. Jika semua orang bersikap tolak ansur dan saling menghormati, mungkin keadaan sesak itu dapat ditukar menjadi keadaan yang selesa.

hakciptaterpelihara