CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.

DarlinGss

Mar 8, 2011

SITUASI 27 > ISU TIDAK SOPAN LAGI

Assalammualaikum
Isu tidak sopan ini masih lagi berlaku dalam kalangan masyarakat di sekitar UPSI. Kejadian ini berlaku ketika saya dan rakan baru sahaja tamat kelas pada jam 1 tengahari di bilik kuliah Proton City. Setelah selesai, kami bergegas mendapatkan bas ke untuk ke Taman Bernam kerana kelas seterusnya bermula jam 2 petang. Seperti biasa,kami terpaksa menunggu bas tetapi apabila sampainya bas, pemandu bas tersebut berdiri di hadapan pintu bas dan tidak membenarkan kami untuk naik ke dalam bas dan kami kurang pasti sebab pemandu tersebut melarang kami naik. Setelah menunggu selama 10 minit dan oleh kerana mengejar masa, rakan saya berkata kepada pemandu tersebut :

 Rakan saya  : Abang,kami sudah lewat ni.Kami ada kelas pukul 2 di Taman Bernam.Kami takut terlewat (dengan nada yang lembut dan sopan)

Pemandu bas : Ada aku kisah ko lambat ke tak.Ko nak cepat pergi jalan kaki la sana.

Bicaraku
Nampaknya kempen 'Budi Bahasa Budaya Kita' masih lagi tidak menunjukkan kesan yang baik ke atas rakyat Malaysia. Tidak salah untuk pemandu tersebut menjawab pertanyaan rakan saya dengan bahasa yang baik kerana rakan saya mengujarkan persoalan dan pertanyaan dengan nada yang baik. Orang berbudi kita seharusnya berbahasa. Jawapan dengan nada yang tidak sopan itu boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan boleh menyinggung perasaan orang lain. Jika sikap sopan santun yang kita amalkan, kehidupan kita dam masyarakat sekeliling akan lebih bahagia. Renung-renungkan dan selamat beramal.

hakciptaterpelihara

SITUASI 26 > RETORIK

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera
Pada minggu lepas saya pulang ke kampung dan seperti biasalah saya menuju ke Bukit Jalil untuk menaiki bas. Waktu tengahari yang terik membuatkan perut saya berkeroncong dan saya mengambil keputusan untuk pergi makan di ruang gerai makan yang terletak di stesen bas Bukit Jalil sebelum menaiki bas 30 minit lagi. Apabila tiba di ruangan gerai tersebut saya terperanjat kerana peniaga di situ masing-masing berebut dan mula beretorik untuk menarik pelanggan. Oleh itu, saya menjadi serba salah untuk memilih gerai untuk menikmati makan tengahari. Pelbagai retorik dan kata-kata pujukan yang digunakan oleh mereka bagi menarik perhatian pelanggan untuk makan di gerai mereka. Antaranya :

keadaan di ruang gerai makan tersebut


Peniaga A : Adik..mari makan di gerai ini.Mari duduk.Macam-macam ada.Nasi lemak ada, soto ada, nasi campur ada.Macam-macam air pon ada.

Peniaga B  : Adik.Duduk sini.Mari duduk sini.Macam-macam ada.Semua special. Tak ada yang tak special di sini.

Peniaga C : Ha,,Adik.Kedai sini semua makanannya sedap-sedap.Tiada tandingan.Marilah duduk sini.Makan kedai ni saja.

Bicaraku
Melihat kepada situasi di atas saya menjadi serabut dan rimas kerana kita tidak diberi pilihan untuk memilih dan menikmati makanan yang kita gemari. Memang tidak dapat dinafikan, peniaga tersebut cuba menarik perhatian pelanggan untuk makan di kedai mereka tetapi cara mereka kadangkala seperti memaksa kita untuk makan di gerai mereka walaupun kita mahu dan masih dalam proses memilih lagi. Walau bagaimanapun, retorik yang pelbagai yang digunakan mereka menunjukkan kepakaran mereka menggunakan bahasa untuk menarik pelanggan ke kedai mereka. 

hakciptaterpelihara

SITUASI 25 >BAFAHAFASAFA RAHFASIFIAFA

Assalammualaikum dan Salam 1 Malaysia


Fenomena bahasa 'F' pernah melanda golongan remaja terutamanya pada suatu ketika dahulu. Saya mula mendengar bahasa 'F' ini melalui filem Bintang Hati yang dilakonkan oleh Amy Mastura dan Anuar Zain. Dalam filem tersebut Amy Mastura mengujarkan dialog bahasa 'F' ini dengan adiknya bagi mengelakkan pertuturan mereka difahami oleh orang tua mereka.  Bahasa ini menjadi bahasa rahsia mereka. Contoh bahasa 'F' :

Afawafak safangafat cafantifik = Awak sangat cantik

Bafaufu afawafak sufunggufuh bufusufuk = bau awak sungguh busuk

safayafa safayafang afawafak = saya sayang awak

safayafa sufukafa sofosifiofolifiguistifik = saya suka sosiolinguistik

jafangafan beferifitahufu oforafang lafaifin


Bicaraku
Pada mulanya saya mempelajari bahasa 'F', saya berasa seronok kerana pertuturan kita hanya difahami sesama kita dan mudah untuk kita perkatakan sesuatu yang rahsia di hadapan orang ramai kerana tidak semua orang memahami bahasa 'F' ini. Bahasa 'F' juga dikenali sebagai bahasa rahsia. Walau bagaimanapun, secara realitinya bahasa seperti inilah yang merosakkan keindahan bahasa Melayu itu sendiri. Lebih elok dan sedap didengar jika kita bertutur menggunakan bahasa Melayu yang betul dan baik. Tidak salah untuk kita menggunakan bahasa seperti ini tetapi janganlah sampai merosakkan bahasa Melayu kita sendiri. Renung-renungkan dan selamat beramal.


hakciptaterpelihara

SITUASI 24 > 'BIG WORK'

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera

Dialog antara saya dan rakan saya yang berasal dari Kelantan 

Saya  :  Haiqal,baru balik dari kampung ke?

Haiqal : Ha,,ada bekwah

Saya  : Bekwah??apa tu??

Haiqal : Bekwah tu macam kenduri la. Orang Kelantan cakap kenduri tu bekwah.

Saya : Ohh,,kenduri..ingatkan apa tadi.

Bicaraku
'Bekwah' merupakan satu perkataan dari dialek Kelantan yang membawa maksud kenduri. Menurut rakan saya, bekwah ini diambil dari perkataan bahasa Inggeris 'big work' yang membawa maksud kerja secara besar-besaran. Perkataan bahasa Inggeris itu disesuaikan dengan sebutan dialek Kelantan. Hal ini merupakan satu pembelajaran kosa kata baru bagi saya kerana kebiasaannya orang Johor menggunakan istilah 'rewang' untuk majlis kenduri seperti ini. Di sini menunjukkan perbezaan penggunaan kosa kata yang mempunyai maksud yang sama oleh masyarakat.



hakciptaterpelihara

SITUASI 23 > 'PECAT'

Assalammualaikum
Pada kuliah sosiolinguistik pada minggu lepas, saya telah mendapat kosa kata baru berkenaan dialek masyarakat Terengganu. Kosa kata tersebut ialah 'pecat'. Menurut rakan saya yang berasal dari Terengganu, mereka menggunakan perkataan 'pecat' yang membawa maksud 'tanggal atau menanggalkan'. Berikut merupakan contoh ayat :

 'Pecat tudung'  = Tanggal tudung

'Pecat Baju' = Tanggal baju

 tetapi masyarakat Johor seperti saya menggunakan perkataan 'pecat' yang membawa maksud diberhentikan kerja. Contoh :

Ali dipecat oleh majikannya = Ali telah diberhentikan kerja oleh majikannya

Bicaraku
Satu perkara yang menarik apabila saya dapat mempelajari kosa kata baru lebih-lebih lagi berkaitan dialek masyarakat di Malaysia. Saya melihat perbezaan maksud perkataan 'pecat' yang digunakan oleh masyarakat Terengganu dan masyarakat Johor seperti saya. Di sini dapat dilihat keperlbagaian maksud sesuatu perkataan yang digunakan oleh masyarakat walaupun sebutannya sama.Mungkin masyarakat di Terengganu akan memikirkan maksud lain jika saya mengujarkan ayat 'Ali dipecat oleh majikannya' kepada mereka. Walau bagaimanapun, sesuatu yang bervariasi dan menarik apabila sesebuah perkataan mempunyai maksud yang banyak.

hakciptaterpelihara

SITUASI 22 > 'RAMP IT'

Assalammualaikum dan Salam 1 UPSI
Adakah anda tahu dari mana asalnya perkataan 'Rempit'???Pernahkah anda mendengar istilah 'Mat Rempit'? 'Minah Rempit'? Menurut Kamus Dewan edisi ketiga, rempit membawa maksud menyebat dengan rotan dan lain-lain.Selain itu, rempit juga membawa maksud menyesah. Kebiasaanya perkataan 'rempit' ini sinonim dengan remaja yang menaiki motosikal dan melakukan kegiatan lumba haram. Sebenarnya,
 perkataan 'rempit' berasal dari perkataan bahasa Inggeris iaitu 'Ramp It' 
dan 
perkataan 'rempit' ini telah diperkenalkan oleh Ahadiat Akashah (penulis novel terkenal) yang telah menggunakan istilah 'rempit' dalam penulisan novel beliau untuk menggambarkan remaja yang terjebak dengan kegiatan lumba haram menaiki motosikal. Oleh itu, sehingga kinilah perkataan itu digunakan oleh 
masyarakat.

katakan tidak kepada rempit


Bicaraku
Setiap perkara yang terjadi sudah tentu mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Begitu juga dengan sesuatu perkataan yang mungkin kita tidak sedar dari mana datangnya perkataan tersebut. Hal ini dapat dilihat melalui perkataan 'rempit' yang berasal dan dipinjam dari perkataan bahasa Inggeris. Perkataan ini juga pada mulanya jarang digunakan tetapi setelah diperkenalkan dan dipopularkan oleh penulis novel tersebut, lama kelamaan menjadi satu perkataan yang popular dan sering digunakan oleh masyarakat pada hari ini. Oleh itu, perkataan ini juga telah menjadi satu istilah yang telah mencetuskan satu fenomena dalam kalangan remaja.

hakciptaterpelihara

SITUASI 21 > ISTILAH

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera
Pernahkah anda mendengar istilah pelik yang sering digunakan remaja sekarang?Kebiasaannya istilah ini digunakan remaja bagi mengelakkan difahami orang veteran dn mudah difahami sesama mereka. Di sini saya senaraikan beberapa istilah yang sering kita dengar dan diujarkan mereka.

'ANAK IKAN' >> kekasih simpanan yang lebih muda

'CIKARO' >> kekasih (biasanya disebut oleh golongan rempit)

'BAPA AYAM' >> lelaki yang mengetuai sindiket penjualan wanita atau pelacuran

'SUGAR DADDY' >>  lelaki yang membela wanita simpanan

'BALAK' >> teman lelaki

'KUTU RAYAP' >> Mereka yang suka melepak tanpa hala tuju

Bicaraku
Sebenarnya banyak lagi istilah yang sering digunakan masyarakat kita pada hari ini untuk mengambarkan sesuatu. Kebiasaannya istilah seperti ini sering digunakan remaja untuk memudahkan perbualan mereka.Hal ini kerana bahasa seperti 'cikaro', 'balak' hanya digunakan dalam kelompok mereka dan hanya difahami oleh sesetengah pihak sahaja. Istilah seperti ini kadangkala boleh mendatangkan kebaikan dan juga keburukan. Hal ini kerana istilah seperti ini dapat menjadi kiasan di sebalik maksud yang sebenarnya dan salah satu keburukannya  tidak difahami oleh sesetengah pihak.

hakciptaterpelihara