CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »
Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.

DarlinGss

Feb 20, 2011

SITUASI 20 > "ANDA SOPAN SAYA SEGAN"

Assalammualaikum w.b.t
Wahai rakyat Malaysia sekalian,apa gunanya kempen Budi Bahasa Budaya Kita jika kita masih lagi tidak berbudi dalam berbahasa.Pada entri yang lepas, saya ada memaparkan situasi pelajar yang kurang sopan semasa berkomunikasi dengan pemandu bas tetapi entri saya pada kali ini adalah sebaliknya. Situasi ini terjadi di dalam bas semasa menunggu pelajar lain naik ke dalam bas selepas pulang dari Pasar Malam Pekan Tg Malim. Oleh kerana saya duduk di barisan paling hadapan dalam bas,maka saya dapat mendengar dengan jelas komunikasi antara pelajar dan pemandu bas tersebut. Situasi ini terjadi apabila pelajar tersebut menaiki bas sambil membawa air yang dibeli di pasar malam dan bertanya kepada pemandu tersebut.

Pelajar   : Pakcik,bas ni pergi kampus tak?

Pemandu Bas  : Aiyo..hari-hari da naik bas,takkan tak tahu.Soalan macam tu tak payah tanya.Penat la nak menjawab.Ha!kan da banyak kali pesan,tak paham-paham lagi ke? (pelajar itu terpinga-pinga)
Kan da cakap jangan minum dalam bas.Pergi turun!Habiskan air tu dulu sebelum naik bas.

(Pelajar itu terus turun dari bas berkenaan)

Bicaraku
'Budi Bahasa Budaya Kita'.Ungkapan tersebut amat berbeza dengan budi dalam berbahasa seperti yang ditunjukkan dalam situasi dia atas. Nada dan bahasa yang digunakan oleh pemandu bas tersebut tidak bersesuaian dalam menjawab pertanyaan dan menegur kesalahan yang dilakukan oleh pelajar tersebut. Kata pepatah 'orang berbudi kita berbahasa', 'anda sopan saya segan' tetapi kesopanan pelajar tersebut ketika bertanya kepada pemandu bas tersebut telah dijawab dengan kasar dan bahasa yang digunakan juga agak kurang sopan. Pemandu bas tersebut mungkin telah menyebabkan pelajar tersebut malu dan rasa terhina dengan tamparan kata-katanya.Dalam situasi ini, tidak menjadi satu kesalahan jika pemandu bas tersebut menjawab pertanyaan pelajar tersebut dengan nada dan bahasa yang bersopan santun. Jika cara teguran pemandu bas itu lebih berhemah, mungkin pelajar tersebut tidak tersentak dengan teguran tersebut. Oleh itu, belajarlah untuk lebih berbudi bahasa dalam berkomunikasi.Renung-renungkan dan selamat beramal.



Pesanan : Jika kita mahu orang menghormati kita,kita harus terlebih dahulu belajar menghormati orang lain.


hakciptaterpelihara

Feb 19, 2011

SITUASI 19 > BAHASA BASAHAN

Tahukah anda apa itu partikel?Partikel adalah sejenis kata tugas seperti -kah, -lah, -pun dan lain-lain.Partikel juga disebut sebagai kata penyerta.Entri saya pada kali ini ingin menceritakan peristiwa yang berlaku semasa kelas Profesor Abdullah Hassan. Sebelum kelas tamat,beliau sempat berpesan kepada kami. Pesanan itu berbunyi :
profesor Abdullah Hassan

"Dalam percakapan atau komunikasi, jangan biasakan bercakap -lah.-lah itu adalah bahasa basahan"

Bicaraku
Pesanan Profesor itu ada benarnya juga.Mungkin ada pelajar yang telah berkomunikasi dengan beliau menggunakan perkataan yang mempunyai nada partikel -lah. Contohnya ayat "kena buat macam ni lah???", "tak payah lah", "susahlah". Ayat-ayat yang mengandungi partikel -lah seperti itu mungkin dianggap bahasa basahan oleh beliau kerana masyarakat kita sering menggunakan partikel tersebut sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam proses komunikasi mereka.Kata partikel tersebut dianggap kurang sesuai untuk kita ucapkan ketika menggunakan bahasa dalam keadaan atau situasi formal. Walau bagaimanapun, partikel -lah ini kebanyakannya digunakan oleh masyarakat pada zaman dahulu untuk menulis hikayat, gurindam, syair dan agak sukar untuk kita memahami hikayat yang adaya partikel -lah ini. Oleh yang demikian, pesanan yang ingin disampaikan di sini adalah menggunakan bahasa yang kelihatan tersusun dan formal apabila kita berkomunikasi.Renung-renungkan dan selamat beramal.

hakciptaterpelihara

SITUASI 18 > APABILA PERASAAN BENGANG DAN MARAH MENGUASAI DIRI

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera
Pernahkan anda berada dalam situasi yang membuatkan anda bengang dan marah???Sudah tentu semua orang pernah melalui situasi ini tetapi perkara yang membezakannya adalah cara kita menangani situasi tersebut.Baru-baru ini, ketika saya sedang menunggu bas untuk pulang ke kampung, ada seorang lelaki yang berjalan dengan tergesa-gesa (L1).Mungkin dia sudah terlambat untuk mendapatkan basnya. Dalam dia tergesa-gesa itu, tiba-tiba dalam secara tidak sengaja dia terlanggar seorang lelaki (L2) hingga terjatuh.Dengan nada yang marah dan bengang, lelaki (L2) tersebut terus memaki hamun lelaki yang melanggarnya (L1). Kejadian ini telah disaksikan oleh ramai orang yang berada di tempat terbabit.

bengang?marah?haruslah bersabar :)

Antara kata-kata lelaki tersebut:

L2 > Woi,ko buta ke ape x nampak aku ni ha?

L1 > Maaf bang, saya tak sengaja.Saya nak cepat ni.

L2 > Wei bahlol,ape abang-abang ko panggil aku.Sejak bila mak aku beranakkan kau.Kau tu kalau da buta, tak nampak jalan, pakai la tongkat

L1 > Maaflah ye encik.Bahasa encik ni da melampau.Kalau saya salah saya mintak maaf.Saya da tak ada masa nak layan encik ni (terus berlalu pergi)

Bicaraku
Sabar adalah separuh daripada iman.Tanpa kesabaran terjadilah seperti situasi di atas.Berlakunya acara maki-memaki oleh lelaki 2 yang telah dilanggar secara tidak sengaja oleh lelaki 1.Bahasa yang digunakan oleh lelaki 2 tersebut merupakan bahasa yang tidak elok kerana dia telah menghina dan memaki L1 yang secara tidak sengaja melanggarkan. Kesopanan kata-kata lelaki 1 yang telah meminta maaf kepada lelaki 2 tersebut tidak dapat meredakan lagi tahap kemarahan dan kebengangan lelaki 2. Hal inilah yang dikatakan ego dan ego inilah yang menyebabkan lelaki 2 telah menghamburkan kata-kata kesat kepada lelaki 1. Di mana letaknya kesopanan dalam berbahasa? Hal ini perlu diambil sebagai iktibar buat kita semua.Walaupun kita bengang dan marah, kita haruslah mengawal situasi tersebut. Janganlah kita mahu melepaskan kemarahan kita dengan mengeluarkan kata-kata yang kesat. Tidak salah untuk kita bersopan santun walaupun kita malu, bengang dan marah seperti lelaki 2 tersebut. Seharusnya kita mencontohi lelaki 1 yang bersopan santun dan mengakui kesilapannya. Renung-renungkan dan selamat beramal

hakciptaterpelihara

SITUASI 17 > SAYA YANG 'GAGAU'

Ketika saya sedang menyeluk beg dan tercaricari kunci rumah saya di dalamya, tibatiba rakan saya berkata 
 'gagau la ko ni Tiqah'.
saya bertanya kepada dia balik 'apa gagau tu?'
kawan saya menjawab 'gagau tu macam mencari sesuatu yang tak tahu mana letaknya'.

saya yang 'gagau'
Bicaraku
Assalammualaikum dan Salam 1 Malaysia
Inilah kali pertama saya mendengar perkataan 'gagau' seperti yang diperkatakan oleh sahabat saya. Perkataan 'gagau' merupakan perkataan daripada dialek Kedah kerana sahabat saya berasal dari Kedah. Setelah diterangkan oleh sahabat saya berkenaan maksud 'gagau', barulah saya memahami apa 'gagau' yang dimaksudkannya. Situasi di atas secara tidak langsung telah memberi satu lagi pembelajaran dialek baru dalam kosa kata bahasa saya. Jika tidak berlakunya situasi tersebut, maka tiadalah perkataan 'gagau' yang terkeluar dari mulut sahabat saya. Pada saya, setiap dialek mempunyai kosa kata bahasanya yang tersendiri. Kosa kata inilah yang menarik dan menunjukkan perbezaan antara dialek kedah dengan dialek lain. Mungkin di Johor orang hanya akan menyebut 'meraba-raba' tetapi di Kedah menyebut 'gagau'. Akhir kata, Selamat beramal.

hakciptaterpelihara

SITUASI 16 > AKU KETURUNAN JAWA

Assalammualaikum dan Salam Muhibbah
Situasi ini berlaku ketika saya dan Johnston (rakan sekelas) duduk sambil berbual-bual

Johnston    :  Tiqah,kau jawa ka??
saya   :   Ha,aku Jawa la.Kenapa?
Johnston    :  Aku ingatkan kau Melayu.Bukan ke kau Melayu??
Saya  : Memang aku Melayu.Bangsa Melayu yang berketurunan Jawa
Johnston    : Oh,,,jadi kau boleh cakap Jawa la ni?
Saya : Boleh.api sikit-sikit jela
Johnston    : Ndak apa.Aku mau dengar.
Saya : Boca iki (budak ini),lanang (lelaki), wedhok (perempuan)
ora mangan urong???(sudah makan ke belom??) 
Johnston  : Wah..menarik jugak bah bahasa Jawa.Pelik

Di sini saya sertakan beberapa kosa kata Jawa dan maksudnya dalam Bahasa Melayu
 JawaMelayu
 Saiki Sekarang
 Engko Nanti
 Thino iki Hari ini
 Sesok Esok
 Sok emben Lusa
 Minggu ngarep Minggu depan
 Nda'inggi Semalam
 Ingin'nanea Kelmarin
 Mbien Dahulu
 Kapan-kapan Bila-bila

JawaMelayuJawaMelayu
AngopMenguapNgumbahMencuci
KerjoKerjaNgelangiBerenang
ManganMakanNjagongDuduk
MelakuBerjalanNgomongBercakap
MbelayuBerlariNgombeMinum
MancahMenebasNgawe-ngaweMelambai2
MbocoMembacaNgaloMenghalau
Me'nekMemanjatNdangakMendongak
NgelangkahMelangkahSedakepBerpeluk tubuh
NguyuKetawaTuronBaring
NulisMenulisTuruTidur
NyebulMeniupTarenMeminta izin
NyolongMencuriWat'tholMengadu

Bicaraku
Kepelbagaian atau variasi bahasa yang terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu yang datangnya dari pelbagai keturunan membolehkan bahasa tersebut dikongsi bersama. Hal ini nampak menarik kerana kita boleh saling mempelajari bahasa antara satu sama lain.Contohnya, Johnston merupakan masyarakat Sabah belajar bahasa saya yang berketurunan Jawa. Saya pula mengenal dan mempelajari bahasa orang Sabah pula melalui Johnston. Perkongsian maklumat mengenai bahasa keturunan masing-masing ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim di samping dapat memperkukuhkan lagi jati diri sesama kita. Walaupun bahasa ini tidak digunakan secara meluas kerana hanya digunakan oleh masyarakat Jawa tetapi bahasa ini menarik untuk dipelajari. Oleh itu, jika kita berjumpa atau berkomunikasi dengan orang Jawa, Sabah dan lain-lain dialek, kita boleh berkomunikasi menggunakan bahasa tersebut.Oleh itu,proses berkomunikasi akan jadi lebih mudah.Renung-renungkan dan selamat beramal.

hakciptaterpelihara

Feb 15, 2011

SITUASI 15 > APAKAH YANG KITA LAKUKAN UNTUK MEMARTABATKAN BAHASA KITA?

Assalammualaikum dan Salam 1 Malaysia
Pernahkah anda mendengar bangsa lain menyanyi lagu bangsa kita?? Mendengar mereka menyanyi dalam bahasa Melayu dengan fasih dan lancar?Ketika sedang asyik mencari video kegemaran di laman sesawang 'Youtube', saya terjumpa beberapa video lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang dinyanyikan oleh Raymond Crooke yang berbangsa asing (barat).Saya sangat terkejut melihat video tersebut kerana beliau tidak kekok menyanyi lagu yang ditulis dalam Bahasa Melayu di samping suaranya yang merdu.Di sini saya sertakan beberapa buah video untuk tatapan anda semua :






Bicaraku
Bagaimana pendapat anda?Saya sangat berbangga kerana lagu-lagu yang telah dihasilkan masyarakat Melayu juga terkenal dan mempunyai peminatnya yang tersendiri dalam kalangan bangsa asing.Hal ini menunjukkan Bahasa Melayu juga dikenali di seluruh pelosok dunia bahkan juga digunakan oleh bangsa lain terutamanya bangsa luar untuk bertutur. Namun, saya sedikit terkilan kerana di negara sendiri, Bahasa Melayu yang menjadi bahasa rasmi dipinggirkan.Kebanyakan antara kita menganggap bertutur Bahasa Melayu tidak mempunyai standart berbanding bahasa luar terutamanya Bahasa Inggeris. Kita harus berasa malu kerana orang luar sendiri cuba memberi penghormatan dan mengiktiraf bahasa kita.Salah satu contoh daripadanya dapat dilihat melalui video nyanyian Raymond Crooke ini.Beliau memberi penghormatan ke atas lagu-lagu artis negara kita.Sebelum saya mengakhiri penulisan entri pada kali ini,saya meninggalkan anda semua dengan beberapa persoalan, adakah kita menghormati bahasa kita?Apakah yang kita lakukan untuk memartabatkan bahasa kita?Harap anda semua dapat renung-renungkan dan selamat beramal.
hakciptaterpelihara

SITUASI 14 > APA ITU BAHASA PIJIN?

Assalammualaikum dan Salam Maulidur Rasul
Selamat menyambut Maulidur Rasul diucapkan kepada seluruh umat islam di seluruh dunia. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w.Walaupun seluruh negara bercuti umum pada hari ini, penulisan blog saya masih dijalankan seperti biasa.Entri saya pada kali ini ingin mendedahkan berkenaan bahasa Pijin.Tahukah anda apa itu bahasa Pijin?Agak pelik bunyinya bukan?Saya telah didedahkan berkenaan bahasa Pijin ini pada kuliah Sosiolinguistik pada minggu lepas. Buat pengetahuan anda semua bahasa Pijin merupakan bahasa yang bertindak sebagai bahasa perhubungan yang digunakan oleh penutur pelbagai bahasa yang bertemu dan berhubung antara satu sama lain.Bahasa yang digunakan tidak semestinya salah satu bahasa asal kedua-dua pihak tersebut.Bahasa Pijin terbit daripada satu bahasa yang secara drastik dipermudahkan struktur dan kosa katanya.Dengan kata lain bahasa pijin juga dikenali sebagai bahasa pasar. 

Bahasa A + Bahasa B = Bahasa C (Bahasa Pijin)

Contoh : Perbualan antara peniaga berbangsa Cina dan pembeli berbangsa Melayu

Bedah   :  Ah Nai, ikan ni sekilo brape?
Ah Nai  : Mulah saje akak.Sekilo 20 linggit
Bedah   : Aiyo tauke.Manyak mahal la lu jual.Kedai sane baru sekilo ringgit.
Ah Nai  : Aiyo akak.Lu kalau mau mulah,pigilah itu kedai.Ini kedai ikan manyak bagus-bagus dali ikan kedai sana mey.
Bedah   : Takpelah Ah Nai.Aku pergi kedai sana jelah.

Bicaraku
Di negara kita,bahasa Pijin sememangnya sering digunakan dalam komunikasi seharian. Situasi di atas memperlihatkan komunikasi antara Bedah yang berbangsa Melayu dan Ah Nai yang berbangsa Cina dalam urusan jual beli. Di sini dapat dilihat Ah Nai yang berbangsa Cina bertutur dalam bahasa Melayu tetapi masih mempunyai loghat Cina.Begitu juga dengan Bedah yang bertutur bahasa Melayu tetapi menyesuaikan bahasa tersebut dengan loghat Cina. Jadi terhasillah bahasa pasar dalam komunikasi tersebut.Ada juga kebaikan apabila kita menggunakan bahasa pijin ini kerana proses komunikasi kedua belah pihak dapat berjalan lancar tetapi harus diingat tidak semua bahasa Pijin ini dapat difahami oleh masyarakat. Kadangkala boleh merosakkan bahasa kita.Renung-renungkan dan selamat beramal.

hakciptaterpelihara

SITUASI 13 > SEMINAR SOSIOLINGUISTIK

Assalammualaikum dan Salam Sejahtera
Masa yang berlalu ditambah dengan kesibukan menyiapkan tugasan membuatkan saya terlupa perkara yang hendak saya coretkan pada blog ini.Hanya tatkala detik ini saya teringat kembali berkenaan dengan seminar berkenaan Sosiolinguistik walaupun seminar ini telah berlangsung pada sebulan yang lepas iaitu pada 21 Januari bertempat di Dewan Sri Tanjung,UPSI. Seminar ini membincangkan Isu-isu Sosiolinguistik Bahasa Melayu Semasa yang telah dianjurkan oleh Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi. Profesor Dr. Awang Sariyan telah dijemput sebagai penceramah untuk membincangkan isu-isu yang telah dikemukakan dalam seminar tersebut.Saya sangat teruja untuk bertemu dengan beliau kerana beliau merupakan Pemegang Kursi Pengajian Melayu, Beijing Foreign Studies University (BFSU).


Pelbagai perkara yang telah disentuh beliau berkenaan bahasa Melayu pada masa kini. Antara perkara yang dibincangkan adalah berkenaan dengan evolusi bahasa masyarakat, variasi bahasa, perluasan bahasa, pemodenan bahasa dan perkara sensitif yang menyentuh isu bahasa Melayu di negara kita. Pelbagai input berkenaan bahasa Melayu yang saya peroleh di samping dapat berkongsi idea dan pendapat berkenaan permasalahan yang sering timbul dalam Bahasa melayu. Pada pendapat saya, seminar seperti ini sememangnya harus dijalankan bagi mendedahkan berkenaan isu dalam bahasa Melayu terutamanya kepada pelajar. Seharusnya seminar seperti ini dilaksanakan dari semasa ke semasa agar pelajar sentiasa didedahkan dengan pelbagai ilmu di samping dapat berkongsi idea.Renung-renungkan dan selamat beramal.

mereka yang terlibat

suasana seminar

hakciptaterpelihara

SITUASI 12 > SALAH FAHAM TAJUK BERITA

Salah faham ini terjadi ketika saya dan sahabat sedang asyik melihat berita yang dipaparkan pada laman sesawang suratkhabar Harian Metro.Berikut merupakan tajuk berita tersebut:

Jaja gambar bogel
Oleh Jamilul Anbia Md Denin dan Asmah Rusman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KESAL...Siti mendedahkan perkara terbabit kepada wartawan Harian Metro.
KESAL...Siti mendedahkan perkara terbabit kepada wartawan Harian Metro.




























Titi  : Didi, cuba kau baca berita ni.

Didi : Ok. (beberapa saat kemudian). Ha! Jaja?Siapa Jaja?

Titi  : Jaja?Jaja mana ko ni???

Didi : Tu yang dekat tajuk berita tu.

Titi  : Oh...tu bukan nama orang la tapi orang tu yang menjaja gambar bogel dia. 'Jaja' kata kerja la.

Didi : Oh..baru aku paham.


Bicaraku
Bahasa pada tajuk berita juga memainkan peranan penting bagi pemahaman mereka yang membaca berita tersebut.Hal ini kerana tajuk merupakan perkara pertama yang boleh menimbulkan persepsi terhadap sesuatu berita yang ingin disampaikan. Kemungkinan berita yang ingin disampaikan itu boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham akibat daripada tajuk yang tidak lengkap atau menggunakan perkataan yang boleh membawa maksud yang pelbagai. Seperti situasi di atas, perkataan 'jaja' itu sendiri menimbulkan dua makna iaitu nama orang dan perbuatan mencari rezeki (menurut Kamus Dewan Edisi Keempat). Sebaiknya perkataan 'jaja' itu diletakkan imbuhan men- bagi menjadikan perkataan tersebut 'menjaja' dan kemungkinan berita tersebut lebih jelas dengan perkataan 'menjaja' ini yang bermaksud menjual atau memperdagangkan. Oleh yang demikian, sahabat saya juga tidak keliru dengan maksud perkataan tersebut.Renung-renungkan dan selamat beramal

hakciptaterpelihara

Feb 13, 2011

SUTUASI 11 > YIK MAN & SAMSANG



Assalammualaikum dan Salam Sejahtera
Perkara yang menarik perhatian saya pada kuliah Sosiolinguistik pada minggu lepas berkenaan kosa kata bahasa Cina dan bahasa Jepun. Semasa proses pembelajaran, pensyarah Sosiolinguistik, Dr Siti Saniah bertanyakan kami berkenaan cara sebutan kedai pau Yik Mun yang terkenal di Tanjung Malim dan perkataan Samsung. Maka kami menyebutnya mengikut suku kata bahasa Melayu iaitu Yik Mun tetapi beliau mengatakan cara sebutan itu salah dan telah memperbetulkannya.


 Perkataan                                      Cara Sebutan

Yik Mun   >>>>>>>>>>>>>       Yik Man
Samsung      >>>>>>>>>>>>>       Samsang



Bicaraku
Barulah saya mengetahui cara sebutan yang betul perkataan tersebut. Kata orang 'lain orang lain ragamnya'.Begitu juga dengan bahasa.'Lain bahasa lain sebutannya'. Jika kita tidak mempelajari bahasa selain bahasa kita,kita tidak tahu berkenaan sebutan yang betul untuk menyebut perkataan bahasa mereka. Sesuatu yang menarik apabila dapat mengetahui sebutan yang betul bahasa Cina dan Jepun tersebut. Oleh yang demikian, tidaklah terlalu malu apabila ada orang bertanya berkenaan kedai pau Yik Mun dan jenama barangan elektrik terkemuka iaitu Samsung kerana kita dapat menyebutnya dengan baik.Renung-renungkan dan selamat beramal.

Pesanan : Masyarakat Cina dan Jepun mesti mentertawakan kita apabila mereka mendengar kita menyebut Yik Mun dan Samsung mengikut suku kata kita.

hakciptaterpelihara

SITUASI 10 > BAHASA LEWAH

Babak drama berlaku ketika Salmah dan Joyah sedang asyik mencuba pakaian di sebuah butik di Pavillion

Salmah : Jay,ok x baju ni?u rasa i muat x?
Joyah   : i rase lebih baik u cuba try dulu.Baju tu nampak kecik tapi badan u tu u paham-paham jela.kan saiz XL.
Salmah : eeee..jahat u ni jay!!!


contoh lain:
"aku ada masalah problem besar ni"


Bicaraku
Assalammualaikum dan salam 1 Malaysia
Entri saya pada kali ini mengemukakan situasi dahulu barulah saya mahu berkongsi pendapat dengan anda semua. Pada pendapat anda, ayat yang mana satukah yang dianggap lewah?Ya,tepat sekali.Semestinya ayat yang telah dibesarkan fonnya oleh saya.Mengapakah saya mengatakan ayat itu lewah?Perkataan 'cuba' dan 'try'(Bahasa Inggeris) itu membawa maksud yang sama tetapi situasi berbahasa seperti inilah yang biasa kita ujarkan dan kita tidak perasan langsung bahasa lewah yang kita gunakan itu.Kita menggunakan bahasa yang sama ertinya  ketika berkomunikasi.Oleh yang demikian,selepas ini apa kata kita menggunakan perkataan 'cuba' sahaja dan buangkan perkataan 'try' itu daripada kamus minda kita.Renung-renungkan dan selamat beramal.
hakciptaterpelihara

SITUASI 9 > KESETIAAN TERHADAP BAHASA

Assalammualaikum dan Salam Perpaduan
Pada  kuliah Sosiolinguistik pada minggu lepas,sebelum memulakan pengajaran, Dr Siti Saniah telah memaparkan video lagu 'Aku Masih Setia' kepada kami semua. Pelbagai persoalan yang terbit dari minda saya seperti 'apa yang Dr nak ajar hari ni?', 'kenapa Dr tunjuk video ni?, 'macam pelik je', 'nak ajar nyanyi ke?' tetapi selepas Dr menyatakan tajuk pembelajaran pada hari tersebut,barulah saya memahami bahawa Dr ingin mengajar berkenaan tajuk "Kesetiaan Terhadap Bahasa".Buat pengetahuan anda semua, menurut ahli linguistik yang terkenal iaitu Asmah Hj Omar, kesetiaan terhadap bahasa merupakan sikap penutur yang positif terhadap bahasa.Mereka yakin terhadap kemampuan bahasa mereka sebagai alat pemikiran dan alat komunikasi.Jika seseorang itu mempunyai rasa kesetiaan terhadap bahasa,secara tidak langsung mereka akan mempunyai ciri-ciri berikut:

Setia Bahasa


 Cinta Bahasa

Bangga Bahasa



Bicaraku
Apakah yang anda rasa terhadap bahasa anda?Semasa proses pembelajaran berkenaan tajuk ini, saya membuat rumusan bahawa kesetiaan itu bukan sahaja merangkumi kesetiaan terhadap kekasih,ibu bapa,pekerjaan dan sebagainya tetapi setia terhadap bahasa kita terutamanya Bahasa Melayu juga itu penting. Apabila kita setia terhadap bahasa kita, maka timbullah rasa cinta dan bangga terhadap bahasa kita.Oleh yang demikian, kita akan sedaya upaya memelihara bahasa kita daripada tersisih, menjaga kedudukan bahasa kita dan menggunakan bahasa kita dengan baik.Tidak salah untuk kita mempelajari bahasa lain tetapi kita harus memelihara bahasa dan mengutamakan bahasa kita sendiri dalam apa jua keadaaan.Apabila perasaan ini tersemat dalam jiwa kita,maka tidak timbullah istilah bahasa rojak.Saya setia terhadap bahasa Melayu saya.Bagaimana pula anda.Renung-renungkan dan selamat beramal.

pesanan : BAHASA KITA WAJAH KITA

hakciptaterpelihara

Feb 12, 2011

SITUASI 8 > TIGA ABDUL

Assalammualaikum dan salam penuh kasih sayang
 Menonton televisyen di rumah memang salah satu daripada hobi saya.Sedang memilih cerita di beberapa siaran,saya tertarik untuk melihat cerita yang sangat popular. Bak kata pepatah cerita ini 'tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan'. Cerita arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee ini sememangnya cerita yang tidak bosan untuk  ditonton dari zaman ke zaman. Perkara yang menarik perhatian saya disini ialah berkenaan butir  dialog yang disusun dengan kreatif hinggakan mempunyai maksud yang tersirat yang mudah difahami oleh penonton.Salah satu daripadanya ialah penggunaan skrip berbalas pantun antara watak.

Abdul Wahib >>> misai pendek tidak bercahaya
                             ibarat kuda hampir mati
                         kalau adinda tidak percaya
                           operate la dada, x-raylah hati

Rafidah Segaraga >>> Jikalau kaki tersandung batu
                                     jatuh selalu tersembam ke tanah
                             orang lelaki memang begitu
                                        sumpahnya selalu tunai tak pernah

Abdul Wahib >>> kaki bukan sebarang kaki
                            kaki diorder dari Egypt
                         lelaki bukan sebarang lelaki
                             ini lelaki Abdul wahib

Rafidah Segaraga >>> jilakau merpati sudah terpikat
                                   jangan terlepas ikatan benang
                                     jikalau hati sudah tepikat
                                lekas-lekaslah masuk meminang

Untuk melihat adegan berbalas pantun dalam Tiga Abdul ini, marilah klik link di bawah :


Bicaraku
Pada pendapat saya, kehebatan filem-filem terdahulu terletak kepada bahasa yang digunakan dalam dialog mereka.Contoh yang paling ketara yang dapat dilihat ialah menerusi filem hasil arahan Allayarham Tan Sri P.Ramlee. Bait-bait kata yang ditonjolkan dapat meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati penonton.Hal ini kerana bahasa yang digunakan lebih kepada bahasa yang indah dan dapat membuai hati penonton.Penggunaan pantun dalam dialog tersebut menunjukkan bahawa dialog yang ingin dituturkan bukan sahaja boleh diujarkan melalui ayat biasa tetapi lebih indah lagi dengan penggunaan pantun. Oleh yang demikian, mungkin sekali sekala anda semua boleh mencuba menggunakan pantun dalam urusan komunikasi anda bersama rakan-rakan.Selain menarik,silaturrahim akan lebih erat kerana penggunaan bahasa yang mempunyai nilai kesantunan yang tinggi.Renung-renungkan dan selamat beramal.

hakciptaterpelihara

Feb 7, 2011

SITUASI 7 > Pantun Meminang

Assalammualaikum dan selamat sejahtera..
Selamat Tahun Baru cina diucapkan kepada masyarakat Cina yang menyambut Tahun Baru Cina.Walau bagaimanapun takziah diucapkan kepada negeri-negeri yang dilanda banjir termasuklah negeri kelahiran saya,Johor.Walaupun banjir,persiapan sambutan Tahun Baru Cina di sini masih giat dilakukan.Harap banyak bersabar kepada semua warga Cina dan seluruh masyarakat yang dtimpa bah.Entri saya pada kali ini bukanlah berkaitan dengan banjir ataupun raya cina tetapi berkaitan dengan adat bertunang masyarakat kita pada hari ini.Saya berkesempatan mengikut rombongan ke Johor kerana menghantar sepupu saya bertunang.Perkara yang menarik perhatian saya di sini adalah berkenaan penggunaan pantun ketika majlis bertunang.Pihak lelaki dan perempuan masing-masing saling berbalas pantun untuk menyampaikan tujuan percakapan mereka.Di sini saya sertakan beberapa rangkap pantun meminang :


Sudah lama langsatnya condong,
Barulah kini batangnya rebah.
Sudah lama niat dikandung,
baru sekarang diizinkan Allah.

Dari Pauh singgah Permatang,
Singgah merapat papan kemudi.
Dari jauh saya datang,
kerana tuan yang baik hati.

Bukan tekat sebarang tekat,
Tekat menjadi hiasan kain.
BUkan hajat sebarang hajat,
Hajat merasmikan nikah kahwin.

Orang membelat di tepi pantai,
banyak dapat ikan tembakul.
Yang kami hajat sudah tercapai,
Yang kami doakan sudah terkabul.

Perahu kolek ke hilir tanjung,
Sarat bermuat tali temali.
Salam tersusun sirih junjung,
Apa hajat sampai kemari?


Malam-malam pasang pelita,
Pelita dipasang atas peti.
kalau sudah bagai dikata,
Sila terangkan hajat dihati.

Tidak pernah rotan merentang,
Kayu cendana dijilat api.
Tidak pernah tuan bertandang,
Tentu ada maksud di hati.

Tumbuk lada diatas para,
Ada kasut simpan dalam peti.
Tepuk dada tanya selera,
Apa maksud di dalam hati.


Bicaraku
Pada zaman yang serba canggih ini, jarang sekali kita lihat suasana berbalas pantun dalam adat meminang.Kebanyakan masyarakat zaman sekarang melakukan adat pertunangan terus kepada tujuannya.Adat seperti ini dilihat hanya digunakan masyarakat lama yang sangat berpegang pada adat.Pada pendapat saya,penggunaan pantun dalam proses meminang merupakan sesuatu yang menarik.Hal ini kerana banyak kiasan dan maksud tersurat serta tersirat yang ingin disampaikan melalui susunan ayat dalam rangkap yang indah.Oleh yang demikian,sebagai masyarakat Melayu yang terkenal dengan pelbagai adat seharusnya mengekalkan adat berpantun ini bukan sahaja dalan adat meminang tetapi dalam adat merisik,majlis keramaian dan sebagainya.Penggunaan pantun dilihat sesuatu yang menarik  dan dapat mengeratkan lagi silaturrahim kerana bahasanya yang indah.Renung-renungkan dan selamat beramal


hakciptaterpelihara

SITUASI 6 >Ada Apa Dengan Sistem Pesanan Ringkas???

SITUASI 6

Bapa saudara Malik dan Malik saling berbalas mesej melalui telefon bimbit (sistem pesanan ringkas)

Bapa saudara  :  salam Malik.ko sihat?
Malik   :  chat pakcik.pakcik uat pe?
Bapa saudara  : ha?chat?ape tu?ko cakap ape ni Malik?pakcik x paham.

Antara bahasa singkatan yang sering saya dan mungkin anda-anda semua gunakan dalam sistem pesanan ringkas (SMS) :

Semua                 sume
Kalau                    klu
Buat                      wat/uat
Tengah                ng/ngah
Macam itu          camtu/cam 2
Apa                       ap/apew
Sahaja                  je/jer/jep
Lepas itu             pastu/pas 2
Macam mana    camne/camner

Bicaraku
Tanpa kita sedari bahasa sistem pesanan ringkas sedikit demi sedikit telah mencemarkan bahasa Melayu kita sendiri. Kadangkala terdapat perkataan yang langsung tidak dapat difahami kerana penggunaan singkatan mungkin telah mengubah maksud atau menggunakan ejaan yang sukar untuk ditafsirkan.Seperti situasi di atas, tidak semua orang boleh memahami singkatan yang kita gunakan untuk sistem pesanan ringkas.Perkara ini boleh menimbulkan kekeliruan dan mungkin akan menimbulkan salah faham antara satu sama lain.Pada pendapat saya,penggunaan singkatan dalam SMS ini mempunyai baik dan buruknya.Salah satu kebaikannya kita dapat menaip mesej dengan pantas.Walau bagaimanapun,kita juga harus memikirkan penggunaan bahasa tersebut sama ada boleh difahami atau berlakunya kerosakan bahasa.Oleh yang demikian,terpulang kepada individu untuk menilai dan menggunakan bahasa yang bersesuaian untuk bahasa SMS ini.Renung-renungkan dan selamat beramal




hakciptaterpelihara